fbpx

Bertahun Memendam Hasrat Untuk Bersyahadah.

Bulan September baru-baru ini, Hidayah Centre Foundation telah menganjurkan Seminar Teknik Menyampaikan Islam dengan Mudah kepada masyarakat bukan Islam yang disampaikan oleh Pengarah Wilayah Tengah Hidayah Centre Foundation, Tuan Noli Husain di Kota Kinabalu, Sabah.

Salah seorang peserta seminar tersebut telah berkongsi cerita mengenai seorang kenalan beliau yang bukan Islam juga sudah dianggap seperti anaknya sendiri yang masih ada keraguan mengenai agama Islam. Tuan Noli telah meminta kebenaran untuk mendapatkan nombor telefon kenalannya itu untuk dihubungi kerana Eddy (kenalan bukan Islam Ummi Nadia) pada waktu itu berada di semenanjung Malaysia.

Tuan Noli sedang menghubuungi Eddy ketika sesi praktikal Seminar Teknik Menyampaikan Islam Dengan Mudah

Di hadapan kesemua peserta seminar, Tuan Noli telah menghubungi Eddy untuk membantu meleraikan keraguan beliau mengenai agama Islam. Tuan Noli telah mempraktikkan teknik menyampaikan Islam secara mudah iaitu ASARA-PK sepertimana yang telah beliau sampaikan kepada semua peserta pada hari tersebut. Antara soalan yang ditanyakan adalah mengenai bolehkah beliau menyembah Tuhan bagi kedua-dua agama iaitu agama asal beliau, Kristian dan agama yang baru beliau kenali iaitu Islam. Satu demi satu persoalan juga kegundahan hati Eddy telah berjaya dirungkaikan.

Di hujung perbualan, Tuan Noli telah bertanyakan sekiranya Eddy mempunyai sebarang persoalan lagi mahupun keraguan mengenai Islam. Eddy menyatakan segalanya telah terjawab dalam perbualan telefon ini. Eddy juga menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam memandangkan beliau telah lama memendam hasrat ini iaitu sejak dari sekolah rendah lagi. Sejak sekolah rendah lagi, timbul pelbagai keraguan dihatinya mengenai agama asal yang dianuti. Hanya dengan panggilan telefon yang dibuat oleh Tuan Noli, Allah telah membuka pintu hati beliau untuk bersyahadah.

Alhamdulillah, Eddy yang berusia 20-an telah melafazkan syahadah dengan kerelaan hatinya sendiri pada waktu itu. Doa kesyukuran dipanjatkan oleh seluruh peserta seminar seramai 120 orang yang telah bersama-sama menyaksikan Eddy melafazkan syahadahnya.

Setibanya Tuan Noli di semenanjung Malaysia, beliau telah mengatur pertemuan dengan Eddy untuk menguruskan pendaftaran pengIslaman. Alhamdulillah, urusan pendaftaran pengIslaman beliau telah berjalan dengan lancar. Eddy telah memilih Muhammad Aqmal Firdaus sebagai nama barunya. Alhamdulillah. Bermulalah fasa kehidupan baru sesuci kain putih , bersih dari sebarang dosa buat beliau.

Para sukarelawan Rakan Hidayah , Hidayah Centre Foundation cawangan Petaling Jaya juga tidak melepaskan peluang merebut amal pahala yang terbentang luas ini. Para sukarelawan telah bertemu dengan mualaf ini dan mula membimbing beliau berkenaan ajaran Islam. Beliau telah dibawa ke masjid berhampiran rumahnya dan belajar praktikal mengambil wudhu dan bersolat. InsyaAllah beliau akan mula mengikuti kelas bimbingan mualaf dalam waktu terdekat ini.

Bersama kita doakan semoga beliau sentiasa tabah dan istiqamah dalam mendalami agama Islam

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf
#HidayahCentreFoundation

1 thought on “Bertahun Memendam Hasrat Untuk Bersyahadah.”

  1. Ismail saliyan aka pok mael

    Tahniah kpd sahabat semua…bila kita rasa rakan kita ada bibit bibit kembali kpd agama fitrah kita gunakn teknik yg Sdr Hj Norli gunakan…kita juga perlu menyebarkan dakwah umum tentang islam kpd saudara saudara yg non muslim …datanglah ke kelas sembang harmoni …jadikan ia aktiviti keluarga dan istiqomah…Senyum menyebarkan salam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Whatsapp kami