fbpx

Tergerak masuk Islam semasa ganti puasa Ramadan tahun lepas.

Baru-baru ini, kami menerima kehadiran seorang gadis berketurunan Sikh yang hadir bersama salah seorang adiknya yang bukan beragama Islam ke ibu pejabat  Hidayah Centre Foundation, Taman Melawati. Sageetha yang hadir pagi tersebut berbaju kurung sentiasa tersenyum ceria menyatakan hasratnya yang sudah bersedia untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Beliau menceritakan, mula yakin dan tergerak hati untuk memeluk agama Islam ketika beliau menggantikan puasa sebelum bulan Ramadan baru-baru ini. Kiranya, beliau sudah mula berpuasa mengikut ibadah puasa agama Islam dari tahun lepas lagi. Tahun ini, beliau telah berusaha berpuasa penuh sebulan di bulan Ramadan dan tidak mengalami sebarang kesukaran semasa melaksanakannya walaupun beliau berpuasa seorang diri.

Sebenarnya, Sageetha mula berminat dengan agama Islam sejak zaman persekolahan lagi. Dia sering tertanya-tanya mengenai laungan azan yang kerap didengar juga beberapa ibadah yang dilakukan oleh rakan-rakannya di sekolah. Meningkat dewasa, beliau mencari sendiri ilmu mengenai agama Islam. Dalam pencarian agama yang benar, beliau turut membuat perbandingan antara agama yang ada di dunia ini.  Beliau mendapati agama Islam yang paling sesuai dan dekat dengan jiwanya.

Beliau nekad untuk melafazkan syahadah dan mula mencari tempat untuk memeluk Islam melalui pencariannya di internet. Alhamdulillah, akhirnya beliau menemui media sosial Hidayah Centre Foundation dan membuat temujanji. Allah jua yang menuntun hati beliau untuk hadir ke ibu pejabat dengan memilih untuk bersyahadah dibulan kelahirannya. Beliau berkata, tiada sebarang halangan dari ahli keluarganya setelah beliau menyatakan hasrat untuk bersyahadah.

Sebelum proses syahadah dijalankan, salah seorang eksekutif HCF memberikan penerangan mengenai asas-asas agama Islam mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Sageetha sungguh teruja mendengar penerangan dari wakil kami dan bertanya serba sedikit bagi merungkaikan persoalan yang bermain dimindanya. Apabila dimaklumkan mengenai segala dosa beliau akan diampunkan juga segala kebaikan sebelum ini dikira sebagai pahala setelah bersyahadah, Sageetha sungguh teruja untuk terus bersyahadah. Beliau sendiri telah menghafaz kalimah syahadah sebagai persiapan sebelum melafazkan syahadah secara rasminya di Hidayah Centre Foundation.  

Alhamdulillah, bermulalah fasa kehidupan baru sesuci kain putih, bersih dari dosa dan perhitungan amal beliau. Semoga Allah terus mengurniakan taufiq dan hidayahNya buat saudara baru ini, Sageetha untuk istiqamah mendalami agama Islam. Semoga beliau dapat menunjukkan kebaikan mengenai agama Islam buat seluruh ahli keluarganya yang bukan beragama Islam.

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf.

#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top