Cheras – Alhamdulillah, Pusat Bimbingan Saudara Baru Hidayah Centre Foundation cawangan Bandar Tun Razak telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Berbahagia Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah HCF pada hari Sabtu, 6 Julai 2019 baru-baru ini.
Ketika para sukarelawan juga aktivis sedang melakukan persiapan terakhir sebelum majlis berlangsung pagi itu, seorang pemuda bukan Islam berbangsa Cina, Loh Karr Pao telah hadir ke pusat bimbingan ini. Beliau yang hadir bersendirian menyatakan hasratnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama Islam pada pagi tersebut. Beliau sememangnya tidak mengetahui pada pagi tersebut akan diadakan majlis perasmian pejabat baru Pusat Bimbingan Mualaf cawangan Bandar Tun Razak. Pao mengetahui mengenai pusat bimbingan ini dari salah seorang sahabatnya setelah sekian lama beliau mencari-cari pusat yang dapat membantu beliau mengenali agama Islam.
Sebelum majlis bermula, Pao telah diberikan penerangan mengenai asas agama Islam dari Tuan Noli Husain, Pengarah Wilayah Tengah HCF. Setelah sesi soal jawab berlangsung dan Pao berpuas hati dengan jawapan yang diterimanya, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Alhamdulillah, ini merupakan kejutan hadiah teristimewa yang Allah hadirkan pada pagi tersebut buat kami semua. Pao juga terus bersama-sama mengikuti Majlis Perasmian & Jamuan Aidilfitri yang diadakan pagi tersebut.
Dalam majlis tersebut diadakan perkongsian dari para mualaf iaitu Sis Mary Anne dan Bro Victor. Sis Sophia iaitu salah seorang pelajar bukan Islam yang mula mengikuti kelas di Hidayah Centre Foundation cawangan Bandar Tun Razak di awal tahun 2019 ini turut berkongsi kisahnya. Beliau kini masih mahu mendalami lagi agama Islam sebelum mengambil keputusan untuk mengucapkan syahadah tidak lama lagi. Beliau turut minta didoakan semoga urusan syahadah beliau selepas ini akan dipermudahkan oleh Allah. Lebih 100 orang tetamu telah hadir semasa Majlis Perasmian yang diadakan ini yang terdiri daripada para sukarelawan Rakan Hidayah juga penyumbang yang budiman.
Pusat bimbingan mualaf ini telah dibangunkan melalui kutipan sumbangan orang ramai yang berjumlah RM92,852.45. Pusat bimbingan baru ini di lengkapi dengan 2 kelas mualaf beserta bilik kaunseling yang bakal dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti. Pusat bimbingan baru ini terletak di Taman Mulia Cheras, berhampiran dengan stesen LRT Bandar Tun Razak. Akses ke pusat bimbingan baru ini sangat mudah buat para mualaf dengan kemudahan tempat kereta yang banyak.
Untuk mereka yang ingin mengikuti kelas bimbingan mualaf juga aktiviti-aktiviti y ang akan diadakan di masa akan datang ini , bolehlah terus menghubungi Jawatankuasa Penasihat Hidayah Centre Foundation cawangan Bandar Tun Razak , Tuan Haji Nazeli di talian 0133903788 . Alamat pusat bimbingan ini ialah 7-1, Jalan Budiman 24, Taman Mulia, Cheras 56000 Kuala Lumpur.
Terima kasih diucapkan buat semua penyumbang budiman yang terus menyokong usaha HCBTR ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala sumbangan juga sokongan dari semua pihak. Semoga banyak lagi aktiviti dakwah juga kerjasama yang melibatkan komuniti di sekitar Bandar Tun Razak dan Cheras yang dapat dijalankan selepas ini.
Sampaikan Islam, Santuni Mualaf
#HidayahCentreFoundation