fbpx

Asal dari China, Kerja di Thailand, Syahadah di Malaysia.

Alhamdulillah. Allahu akhbar.

6 Syawal 1440H bersamaan 10 Jun 2019 baru-baru ini, kami di ibu pejabat Hidayah Centre Foundation (HCF), Taman Melawati menerima kunjungan Jing Yi Wu, seorang warganegara China bersama beberapa orang kenalannya di Malaysia ini.

Beliau hadir ke HCF dengan hasrat untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai agama Islam kerana selama ini beliau berpegang kepada kepercayaan atheis iaitu tidak percaya adanya Tuhan. Hasratnya yang benar-benar ingin mengetahui mengenai agama Islam, mendorongnya untuk bermusafir ke Malaysia dari tempat kerjanya di Thailand. Allah jua yang mengaturkan langkah beliau untuk bertemu dengan HCF.

Sesi penerangan telah dijalankan oleh pegawai HCF iaitu Tuan Haji Zun Arif Hakim yang berusaha sedaya upaya menerangkan konsep-konsep asas Islam melalui kaedah ASARA.

Kaedah ASARA yang digunapakai ini merupakan akronim kepada:
A- Allah ada
S- Allah satu
A-Al-Quran sebagai manual kehidupan manusia
R- Rasul
A- Akhirat

Alhamdulillah, ternyata kaedah ASARA yang digunakan ini amat berkesan sekali untuk memberikan keyakinan buat mereka yang bukan Islam untuk menerima dengan hati terbuka agama fitrah ini. Teknik ini sememangnya sudah digunapakai dan melalui proses penambahbaikan saban hari.

Setelah mendengar penjelasan yang terperinci dan menjawab persoalan-persoalan yang bermain di fikirannya selama ini, saudari Jing Yi Wu telah mengambil keputusan tanpa sebarang paksaan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah di ibu pejabat HCF pada bulan Syawal yang mulia ini.

Alhamdulillah. Bermulalah fasa kehidupan baru sesuci kain putih,bersih dari dosa dan bermulalah perhitungan amal beliau. Jazakallahu khairan katheera buat kenalan beliau yang memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Islam kepada saudari Jing Yi Wu.

Semoga Allah s.w.t terus memelihara iman saudari Jing Yi Wu dan semangat untuk terus belajar mendalami agama Islam.

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf

#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top