Saya Rasa Saya Dah Islam.

Di suatu petang, dia menyatakan isi hatinya kepadaku “ saya rasa, saya sudah Islam. Setiap hari saya solat waktu tahiyat akhir ada bacaan syadahkan?”. Aku mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum. “Jadinya, tunggu apa lagi?”. Balasku sambil mengenyitkan mata kepadanya.
.
Jeda lama. Masing-masing mengelamun sendiri. Aku terkenang saat perkenalan kami lebih kurang 7 bulan yang lalu yang diatur indah oleh Allah. Waktu itu, aku sedang punya urusan di luar negara. Sewaktu sarapan pagi di hotel, tanganku ligat membelek pesanan yang masuk ke dalam telefon bimbitku. Aku belum sempat membeli simkad waktu itu. Hanya bergantung kepada internet di hotel. Sebentar lagi aku ada urusan di luar hotel, bermakna aku tiada talian internet lagi.
.
Aku membaca sepintas lalu di aplikasi whatsapp dalam salah satu group yang sudah bertahun tidak aktif. Mesejnya lebih kurang begini “ Salam. Ada kawan kepada kawan saya nak belajar pasal Islam. Kalau boleh nak berkawan sekali. Ada siapa nak bantu?” Lama aku berfikir nak membalas tidak mesej tersebut. Aku membelek-belek pula mesej yang lain sambil menghabiskan sarapan. Saat aku mahu melangkah keluar dari hotel, aku pun membalas mesej tersebut “ Waalaikumsalam. Mesej saya butiran beliau ya.” Aku meneruskan tugasanku pada hari tersebut.

Saat pertama bersemuka

Keesokan harinya, aku teringat untuk menghubungi beliau. Mesej pendek pengenalan diri bertanya khabar beliau dan menyatakan hasrat untuk berjumpa bila aku pulang ke Malaysia nanti. Temujanji kali pertama kami di kedai buku Imanshoppe. Kerisauan dan berdebar juga aku dibuatnya ketika kali pertama berjumpa. Takut ketidakmampuan membimbing beliau memahami agama Islam. Aku menolak jauh-jauh persepsi buruk yang timbul dalam hatiku mengenai beliau. Aku akan berusaha membantunya sedaya upayaku.

Aku sempat membekalkannya bahan-bahan bacaan mengenai agama Islam yang aku perolehi dari Hidayah Centre Foundation. Sejak itu, kami berkawan rapat. Berkongsi cerita, saling bertukar pandangan dan sering bersoal jawab sekiranya beliau ada sebarang kemusykilan mengenai Islam. Kali kedua kami berjumpa, beliau sudah pun menghafal surah al-fatihah. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur kepada Allah. Sesuatu yang mengagumkan aku bila melihat usaha yang beliau laksanakan untuk mendalami agama Islam ini. Beliau hadir ke beberapa kelas bimbingan mualaf dalam seminggu dengan konsisten.

Tidak mahu jadi bahan bakar neraka.

Aku juga ada menghadiahkannya senaskah terjemahan Al-Quran untuk pembacaan beliau. Sejak itu, kami giat berkongsi sepotong ayat setiap hari. Pernah satu hari, dia berkongsi sepotong ayat dari surah At-Tahrim ayat ke 6 iaitu “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. Beliau kesedihan memikirkan bagaimana keadaan kaum keluarganya yang lain andai beliau seorang sahaja yang memeluk Islam. Baliau tidak mahu keluarganya menjadi bahan bakar api neraka. Aku memintanya untuk berdoa agar Allah turut mengurniakan hidayahNya buat mereka semua.

Aku turut berkongsi sepotong ayat dari surah Fussilat bagi menenangkan hati beliau yang berbunyi “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami adalah Allah”, kemudian mereka tetap meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata): “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati,bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Ayat-ayat Al-Quran yang menjanjikan ganjaran, nikmat dan kekuasaan Allah sering aku kongsikan untuk meredakan kesedihan di hati beliau. Beliau masih di persimpangan dilema untuk membuat keputusan masuk ke agama Islam. Kegalauan hati dalam memilih agama atau keluarga. Bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk beliau hadapi seorang diri buat masa ini. Kerana itu beliau benar-benar perlukan bimbingan juga sokongan dari kenalan sekeliling.

Aku bersyukur, lebih dari 6 bulan tempoh perkenalan kami, beliau sudah banyak belajar dan mempraktikkan ajaran Islam. Sudah lengkap menutup aurat, selalu mengamalkan puasa sunat dan sering mendirikan solat. Hanya tinggal beliau sendiri yang perlu menyatakan persetujuan untuk bersyahadah. Fasa-fasa begini, kita tidaklah boleh memaksa beliau untuk terburu-buru membuat keputusan. Hanya motivasi juga dorongan yang berterusan perlu diberikan agar keputusan yang diambil nanti sepenuh hati beliau. Bimbingan berterusan juga doa dipanjatkan buat Allah yang mengurniakan hidayahNya.

Tiada paksaan dalam agama.

“Tidak ada paksaan dalam agama Islam, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)
Anda ingin mengetahui kisah seterusnya? Apakah usaha-usaha yang dilakukan seterusnya dalam membimbing beliau menggapai hidayahNya?

Ikuti kisah seterusnya dengan mendengarkan secara langsung dari konti radio IKIM di facebook page Hidayah Centre Foundation pada hari Selasa, 7 Mei 2019 ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *