fbpx

KERANA “KETIKA CINTA BERTASBIH” – ISLAM MENGETUK PINTU HATI IRFAN 

Filem ini popular namun saya belum kesempatan menontonnya. Bukunya telah dibeli namun dibaca separuh jalan sahaja. Namun tiba-tiba ada sesuatu yang menggerakkan hati saya terus terlalu ingin sekali menonton filem ini. Kerana Irfan Abdullah.

Filem ini adalah pengkisahan seorang pemuda yang berjuang menuntut ilmu di sebuah universiti di luar negara iaitu Mesir. Begitu lama menuntut di Universit Al Azhar Mesir sehingga sembilan tahun kerana perjuangannya di sana bukan sekadar untuk belajar bahkan perlu berjuang juga membantu keluarga yang telah kehilangan sang ayah. Beliau belajar sambil bekerja dengan membuat tempe bagi menyara pengajiannya. Duit keuntungan jualan tempe itu juga digunakan untuk membantu keluarganya di Aceh, Indonesia.

Begitu juga kisah hidup insan bernama Irfan Abdullah. Berasal dari sebuah kampung yang jauh di pedalaman Keningau, Sabah. Mempunyai raut wajah yang redup dan lembut. Begitu jugalah perawakan dan tutur katanya yang lemah lembut menenangkan hati mereka yang berbicara dengannya.

Ketika beliau berumur 9 tahun ayah jatuh sakit. Ayah beliau tidak lagi mampu mencari nafkah untuk keluarga. Mempunyai adik beradik yang ramai menyebabkan Irfan tidak mampu meneruskan pengajiannya memandangkan ayahnya tidak lagi dapat menampung pengajian mereka adik beradik. Namun beliau seorang yang sangat cekal dan bersemangat. Beliau telah berusaha untuk menyambung pengajiannya dengan bekerja apa sahaja untuk mendapatkan wang. Kerana baginya hanya pendidikan yang mampu mengubah nasib keluarga mereka.

Saudara Hendryson Roy @ Muhammad Irfan.

Pelbagai pekerjaan yang beliau lakukan untuk mengumpul wang sehingga beliau mampu meneruskan pengajian ke tingkatan satu. Bahkan beliau membantu adik-adiknya untuk bersekolah walaupun kemudiannya ada dalam kalangan adik-adiknya tidak mahu ke sekolah kerana jarak untuk ke sekolah sangat jauh. Irfan  menceritakan beliau pernah menahan lapar kerana wang yang tidak mencukupi namun semua itu dilalui beliau dengan penuh sabar. Paling mendukacitakan ketika 2014 ayah beliau telah meninggalkan keluarga mereka buat selama-lamanya..

Begitulah yang berlaku kepada Azzam dalam filem ini. Beliau begitu tabah melayari kehidupan yang penuh liku dan cabaran itu. Pelbagai persoalan yang mengetuk pemikiran Irfan..

Bagaimana Azzam begitu tabah?

Mengapa Azzam tidak mengeluh?

Daripada mana Azzam mendapat kekuatan itu?

Betapa lakonan yang ditonjolkan dalam filem ini adalah berpegang teguh kepada takdir Allah dan melalui kehidupan dengan berusaha akhirnya Azzam berjaya menyekolahkan adiknya di samping beliau akhirnya berjaya juga menamatkan pengajiannya dengan jaya setelah 9 tahun. Bila matlamat jelas dalam hidup, berusaha bersungguh-sungguh pasti Allah tidak akan mengecewakan hamba-Nya. Bukan sahaja beliau berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, digambarkan juga dalam filem ini pengorbanan Azzam juga membuah kejayaan apabila adiknya berjaya menjadi seorang penulis karya terkenal di Indoesia.

Di samping usaha dalam membangunkan kehidupan sekeluarga dalam ekonomi dan pendidikan  filem Ketika Cinta Bertasbih ini juga membawakan kisah soal jodoh. Bagaimana Azzam begitu mencari isteri yang baik agamanya. Walaupun di masa yang sama cantik juga satu keistimewaan wanita yang dipilih sebagai isteri namun agama itu ‘Number One”.

“Aku tidak mahu calon isteriku disentuh oleh orang lain atau dipertontonkan kepada orang ramai. Aku belum bersedia”, lafaz Azzam ketika adiknya menganjurkan Eliana sebagai calon isterinya selepas Anna Ilthafunnisa bernikah dengan Furqan. [Ketika Cinta Bertasbih 2]

Ketika beliau ingin mengajukan hasrat untuk menyunting Anna Ilthafunnisa berlaku dialog ini, “Kamu ini aneh Zam. Bagaimana mungkin kamu begitu mantap utk melamar Anna Ilthafunnisa tapi kamu belum mengenal orangnya?”.  Sang Ustaz menggelengkan kepada kerana apabila ditanya kepada Azzam apakah beliau sudah melihat orangnya atau foto Anna Ilthafunnisa, beliau menggelengkan kepala. Itulah Azzam yg begitu kuat tawakalnya kepada Allah dalam kisah ini.

Namun ternyata beliau terlambat kerana Anna telah pun dipinang oleh kawan baiknya Furqan. Namun ada kata-kata yang meregut jiwa muda Azzam yang tabah, “Jika aku sebagai orang tua diajukan dua orang calon yang satu serius belajar dan yang satu asyik mengurus tempe.. maaf Zam, aku akan memilih yang serius belajar” bilang sang ustaz menasihatkan Azzam agar lebih melihat realitis kerana ketidaksekufuan status akademik mereka.

Kisah ini sangat menginspirasikan Irfan. Kekuatan Azzam dalam menempuh hidup. Gagal berkali-kali namun tidak pernah mengeluh hatta gagal dalam lamaran kepada wanita yang memang diidamkan ciri-ciri kewanitaan sebagai seorang isteri. Menjadi lelaki yang ditolak kerana tidak cocok dengan keadaan dan taraf dirinya yang masih terkapai-kapai untuk menghabiskan ijazahah pertama sedangkan wanita yang ingin diperisterikan sudah mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Sungguh ia terpukul dengan kenyataan ustaz tersebut namun dalam pada yang sama ia belajar menerima hakikat takdir yang telah ditulis dalam jalan hidupnya. Namun tidaklah sekali-kali ia menyerah kepada takdir semata-mata terutama dalam soal pembelajarannya.

Melihat ketenangan Azzam sebagai orang Islam, Irfan yang berada dalam situasi sama terus sangat berminat untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam. Bagaimana seorang muslim seperti Azzam yang kuat berdoa, yang menempuh cabaran kehidupunnya tanpa lelah dan mengeluh dan terus sahaja berusaha dan berusaha. Mengenepikan semua sisi-sisi negatif yang melingkari hidupnya dan terus melangkah demi langkah mengharungi kehidupan.

Irfan juga seperti Azzam. Berusaha untuk belajar namun seringkali beliau tidak cemerlang dalam pembelajaran. Mungkin kerana beliau tidak memfokuskan pada pembelajarannya semata bahkan melakukan pekerjaan sampingan untuk menambah pendapatan. Oleh itu beliau ingin menjadi seteguh Azzam. Menjadi insan yang tenang seperti Azzam. Ingin berjaya seperti Azzam dan ingin mendalami agama yang di anuti Azzam iaitu Islam.

Bermulalah kisah Irfan mencadi sejalur sinar cahaya yang lurus yang akan membawa beliau kepada Penciptanya yang sebenar.

Bersambung…

Siri 2 | KISAH IRFAN MENCARI ISLAM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top