PACUAN PAHALA AMAL : SABAH TERIMA SUMBANGAN 4WD KEDUA

Bumi bertuah Sabah antara negeri yang istimewa di Hidayah Centre Foundation. Bukan sekadar pengasasnya berasal dari Sabah bahkan kakitangannya juga kebanyakannya merupakan mualaf yang berasal dari Sabah. Sehingga kini HCF Sabah mempunyai tujuh buah pejabat cawangan iaitu Kota Kinabalu, Papar, Kota Marudu, Keningau, Bundu Tuhan, Pagalungan dan Beluran. Seramai 17 kakitangan sepenuh masa di Sabah sahaja bagi membantu mereka yang memeluk agama Islam di sini. Kehadiran HCF di Sabah boleh dikatakan sebagai salah satu usaha membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dalam urusan menyantuni dan memperkasakan mualaf serta berkongsi mesej Islam kepada masyarakat di sana.

Sabah mempunyai bentuk muka bumi yang kebanyakannya beralun-alun dan berbukit bukau. Sabah juga kaya dengan hutan hujan khatulistiwa. Bagi yang pernah ke Sabah pastinya akan disajikan
dengan pemandangan tumbuhan hijau di kiri dan kanan sepanjang perjalanan yang panjang antara satu kawasan ke satu kawasan yang lain . Satu pemandangan yang indah yang tidak boleh dinafikan oleh pandangan mata.

Tuan Hj Idris Omar, Pengerusi Yayasan Al Buruj bersama isteri beliau menyerahkan simbolik kunci Al Buruj 2 kepada Ketua Operasi Negeri HCF Hj Abdul Rahman Kassim disertai juga oleh
Hj Rosdin Anang Pengarah Projek Khas Sabah dan Sarawak

Antara satu tempat ke satu tempat yang menghubungkan antara satu cawangan ke satu cawangan HCF, akan memgambil masa lebih daripada 1 jam. Manakala dari pejabat cawangan Sabah yang terletak di Kota Kinabalu ke cawangan lain, ada juga yang mengambil masa sehingga 8 jam! Keadaan bentuk muka bumi sebegini pastinya mencabar bagi kakitangan terutamanya pihak Pengurusan Sabah untuk melawat dan membantu aktiviti juga urusan kakitangan pejabat cawangan. Begitu juga menghadapi kesukaran dalam menjalankan aktiviti untuk menyantuni dan berkongsi mesej Islam dalam kalangan masyarakat sekitar pejabat cawangan di Sabah dan juga menyantuni mereka yang jauh di pendalaman. Kenderaan pacuan empat roda sangatlah diperlukan dalam mengurus dan melancarkan usaha-usaha HCF di Sabah.

Alhamdulillah kesukaran yang dihadapi oleh kakitangan cawangan Sabah ini akhirnya dipermudahkan dengan sumbangan daripada sebuah Yayasan yang telah sudi menyumbangkan kenderaan pacuan empat roda. Pada tahun 2017, Yayasan Buruj yang berpengkalan di Semenanjung tanah air telah menyumbangkan sebuah pacuan empat roda yang dinamakan Al Buruj 1. Toyota Dmax berwarna hitam telah diserahkan kepada Pengurus HCF Sabah Joannes Lukas pada waktu itu. Alhamdulillah sumbangan tersebut telah banyak membantu mempermudahkan usaha-usaha seluruh cawangan HCF di Sabah apatah lagi di kawasan yang jauh seperti di pedalaman Pagalungan dan Beluran. Juga tidak ketinggalan kawasan berbukit bukau iaitu di Bundu Tuhan.

Al-Buruj 2 sedia berkhidmat di bumi Sabah.

Alhamdulillah pada tahun ini iaitu 2019, sekali lagi Yayasan Buruj telah membantu menyuntik dana untuk pembelian sebuah pacuan empat roda. Pembelian ini direalisasikan dengan sumbangan orang ramai juga. Namun sumbangan daripada Yayasan Buruj telah mempercepatkan lagi usaha pembelian kenderaan pacuan empat roda kedua ini. Sumbangan ini membolehkan HCF Sabah membeli sebuah Toyota Hilux yang dinamakan Al Buruj 2 baru-baru ini. Tuan Hj Idris Omar yang merupakan pengerusi kepada yayasan ini telah sudi hadir ke pejabat HCF Sabah pada 28 Mac 2019 bagi upacara simbolik penyerahan Al Buruj 2 ini bersama isteri beliau, Puan Maziyah Hassan. Turut hadir dalam penyerahan tersebut ialah Ketua Operasi Negeri HCF iaitu Hj Abdul Rahman Kassim dan Pengurus Dana Khas (Sabah dan Sarawak) Hj Rosdin Anang di samping Pengurus HCF Sabah iaitu saudara Joannes Lukas.

Penulis bersama Al Buruj 1 dalam misi membuat rakaman 5 daripada 7 pejabat cawangan HCF di Sabah

HCF mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Hj Idris Omar dan pasukan Yayasan Buruj serta orang ramai yang menyumbang kepada dana pacuan empat roda kedua ini. Juga terima kasih kepada penyumbang yang menyumbang kepada Yayasan Buruj. Semoga setiap pusingan roda pacuan ini, yang menjejaki setiap inci muka bumi Allah di Sabah dalam usaha-usaha HCF menyantuni mualaf dan menyampaikan mesej Islam menjadi pahala amal yang tiada keputusan buat semua penyumbang sehingga kita bertemu kelak di hadapan Allah nanti. Semoga menjadi sebahagian pahala amal yang menghantarkan kita ke syurga-Nya. Ameen.

HCF masih lagi membuka peluang kepada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada pacuan empat roda ini. Sasaran pacuan empat roda ketiga telahpun dibuka. HCF Sabah memerlukan pacuan empat roda untuk Beluran dan Pagalungan yang terletak lebih 8 jam perjalanan daripada Kota Kinabalu. Semoga akan ada penyumbang budiman seperti Yayasan Buruj yang akan tampil merealisasikan pacuan empat roda ketiga pula untuk HCF Sabah.

 

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf
.
#HidayahCentreFoundation

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *