fbpx

Baru-baru ini, Hidayah Centre Foundation telah menganjurkan program makan malam Special Open Your Eyes Dinner (SOYED) bertempat di Sani Hotel, Kuala Lumpur bersama tetamu yang merupakan pelajar-pelajar dari International British English Centre (IBEC), Kemboja. Pelajar-pelajar dari IBEC ini sedang dalam rangka lawatan sambil belajar ke Malaysia dan berhasrat mengenali lebih lanjut mengenai agama Islam yang merupakan agama rasmi di Malaysia.

Dr A’thiroh

Pada program makan malam tersebut, HCF telah menjemput Dr A’thiroh Maasya’il Tan Ai Pao , Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Malaysia untuk mengisi slot bertajuk “What is the Purpose of Life?” iaitu, apakah tujuan hidup ini. Di awal perkongsiannya, Dr A’thiroh berkongsi cerita dan gambar-gambar ahli keluarganya yang belum Islam dan penghijrahannya. Beliau juga berkongsi detik-detik dimana hatinya mula terpaut dengan agama Islam dan seterusnya mengambil keputusan memeluk agama Islam.

Kemudian, Dr A’thiroh mula bercerita hakikat kewujudan manusia yang diciptakan Allah di dunia ini. Beliau menyatakan kesyukurannya menjadi seorang Muslim yang jelas dengan matlamat kehidupan ini. Beliau telah memetik ayat-ayat Al-Quran dalam perkongsiannya. Antaranya ialah:

Dari surah ke 23, Al-Mukminun ayat ke 115 yang membawa maksud:
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Seterusnya, beliau memetik juga ayat al-Quran dari surah Az-Zhariyat ayat ke 56 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu ”

Penyampaian Dr A’thiroh ini telah diakhiri dengan perkongsian video mengenai mualaf-mualaf lain yang telah mengerti tujuan hidup mereka.

Salah seorang saudara baru santunan HCF, Muhammad Haramain

Seterusnya program makan malam ini juga telah menjemput dua orang mualaf santunan HCF iaitu saudara Muhammad Haramain dan saudari Wan Ni Huang. Saudara Muhammad Haramain dari Holland telah berkongsi cerita bagaimana beliau mula tercari-cari erti hidup ini dan akhirnya bertemu Tuhan yang satu iaitu Allah dan akhirnya memeluk agama Islam. Saudari Wan Ni Huang telah berkongsi cerita mengenai pandangan mereka mengenai Islam sebelum mengambil keputusan memilih agama Islam ini.

Sesi soal jawab dan kuiz mengenai Islam juga telah diadakan kepada semua pelajar-pelajar yang hadir. Pelajar-pelajar begitu gembira kerana memperolehi hadiah sekiranya dapat menjawab soalan dengan tepat.
.
Selepas perkongsian ini, Dr A’thiroh meminta diri untuk meninggalkan majlis awal kerana keadaan dirinya yang kurang sihat hari tersebut. Beliau menggagahkan diri juga untuk hadir berkongsi bersama para pelajar tersebut. Semasa beliau bangun untuk bergerak pulang, salah seorang pelajar telah bangun dan menyatakan beliau begitu tersentuh dengan perkongsian yang diberikan dan baru tahu tujuan sebenar manusia diciptakan. Dr A’thiroh tersenyum menahan sebak didada sambil memegang tangan pelajar tersebut. Tiba-tiba, genggaman pelajar tersebut menjadi begitu kuat dan menyatakan beliau begitu tertarik dengan agama Islam.

Semoga para peserta yang hadir dibukakan pintu hatinya untuk terus memahami mengenai agama Islam juga mendapat serba sedikit kefahaman melalui perkongsian pada malam tersebut .

“Wahai jiwa-jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku , dan masuklah ke dalam syurga-Ku  (Al-Fajr 27-30)

Dalam aktiviti lawatan ke Malaysia ini juga, Hidayah Centre Foundation dengan kerjasama Quranic Youth Club (QYC), Restoran Mohd Chan dan Yayasan Mualaf Malaysia telah merangka pelbagai program untuk diisi sepanjang lawatan mereka. Antaranya, mereka dibawa melawat ke Masjid Wilayah dan dibawa mengikuti acara “Mosque Tour”. Mereka juga dibawa tempat-tempat bersejarah dan monumen di sekitar Kuala Lumpur. Semoga usaha ini dapat memberikan serba sedikit pengetahuan dan kefahaman mengenai agama Islam.
.


Sampaikan Islam, Santuni Mualaf.
.
#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Whatsapp kami