TAMAN MELAWATI : Ahad, 26 Januari 2019 telah berlangsung majlis pernikahan mualaf santunan Hidayah Centre Foundation (HCF) yang bertempat di Pusat Komuniti IKRAM Ampang Jaya, Taman Melawati.
Chiang Han Hoong atau lebih dikenali sebagai Sean yang berbangsa Cina telah memilih seorang gadis Melayu bernama Liza bt Abu Bakar untuk menjadi suri hidupnya. Sean telah melafazkan kalimah syahadahnya pada bulan November 2018 di ibu pejabat Hidayah Centre Foundation. Pasangan pengantin ini telah selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz oleh imam Rasul dari Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati.
Majlis pernikahan yang sederhana tetapi meriah ini dihadiri lebih 270 orang ahli keluarga juga kenalan kedua-dua belah pihak seawal jam 10 pagi lagi. Apa yang lebih menggembirakan ialah ayah kandung Sean iaitu, Kolonel Dr (bersara) Chiang Mung Chong turut hadir bersama isterinya bagi meraikan perkahwinan anak tunggal mereka ini. Beliau melahirkan rasa gembira dengan perkahwinan ini dan mengalu-alukan kehadiran menantunya, Liza ke dalam keluarga mereka.
Ahli keluarga serta teman-teman Sean yang berbangsa Cina juga rata-rata merasa teruja dan gembira kerana pertama kali menyaksikan majlis pernikahan masyarakat Islam. Salah seorang teman rapat pengantin yang ditemui iaitu Christina, telah berkata “saya sangat teruja dan gembira kerana pertama kali datang ke majlis pernikahan juga upacara teh ini. Sejak semalam saya datang, saya tersentuh melihat bantuan dan kerjasama daripada HCF sampai ke malam hari bagi memastikan majlis ini berjalan lancar. Majlis akad nikah yang diadakan ini membantu memberi penjelasan kepada kami yang bukan Islam. Semasa saya duduk bersama tetamu-tetamu yang lain, ramai yang baru tahu bahawa akad nikah ini sebenarnya ringkas dan mudah sahaja. Perkara ini pastinya membantu mewujudkan lebih kesefahaman antara masyarakat Muslim dan bukan Islam”.
Keluarga pengantin perempuan iaitu Liza yang berasal dari Kuantan juga turut hadir bersama-sama meraikan pasangan ini. Abang-abang kandung Liza iaitu, Zainol,Hanimam juga Hanizan Abu Bakar telah menjadi wali juga saksi untuk majlis pernikahan ini kerana kedua ibu dan bapa mereka telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.
Tetamu-tetamu yang hadir terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Cina, Melayu, India dan ada juga yang hadir dari United Kingdom. Pelbagai juadah jamuan masakan Cina dan Melayu juga turut dihidangkan kepada semua tetamu yang hadir.
HCF berbesar hati dan teruja kerana dapat bersama-sama membantu urusan majlis pernikahan yang berlangsung secara sederhana tetapi cukup meriah ini. Apa yang lebih istimewa lagi, majlis ini dapat disaksikan secara langsung atas talian melalui laman sosial facebook HCF. Pihak pengantin juga turut gembira kerana kaum keluarga juga teman-teman mereka yang tidak dapat hadir dapat bersama-sama menyaksikan majlis pernikahan ini secara langsung. Saudara pengantin yang bermastautin di Australia juga tidak melepaskan peluang menyaksikan hari bersejarah buat pasangan mempelai ini.
Ucapan tahniah juga doa kesyukuran diucapkan buat pasangan mempelai ini,
بارك الله لكما و بارك عليكما و جمع بينكما في خير
Semoga Allah memberkahimu kalian berdua dan semoga Allah menyatukan kalian berdua dalam kebaikan. Selamat melayari bahtera rumahtangga dan semoga perkahwinan ini berbahagia hingga ke syurga!
Sampaikan Islam, Santuni Mualaf.
#HidayahCentreFoundation