fbpx

Kerana kita bersaudara…

Tengah hari itu, kami di HCF menerima pesanan ringkas yang menyatakan keadaan Uncle Eng (salah seorang mualaf santunan HCF) yang agak uzur. Isterinya juga dilaporkan berada dalam keadaan yang tidak sihat pada ketika ini. Beliau sememangnya diuji dengan sebelah kakinya gagal berfungsi normal sejak beberapa tahun yang lalu.

Selepas beliau bersyahadah, beliau telah ditinggalkan anak-anak dan bekas isteri. Kini beliau hanya tinggal bersama isterinya yang baru dikahwini beberapa tahun lalu. Wakil HCF telah bergegas ke kedai kediaman beliau di Petaling Jaya bagi meninjau keadaannya. Setibanya di kediaman beliau, keadaannya agak membimbangkan. Beliau kelihatan terlantar di atas katil tanpa dapat menggerakkan separuh tubuh beliau. Keadaanya tidak terurus sekali. Tetapi beliau masih dalam keadaan sedar, kerana mampu menyahut bila namanya dipanggil

Terima kasih buat staff-staff PPUM yang bertungkus lumus membantu membawa Uncle Eng ke hospital.


Isteri beliau yang kelihatan lemah dan tidak bermaya ada disebelah beliau juga mengadu kesakitan. Isterinya kata segan dah tak tahu nak hubungi siapa. Jadinya dia teringatkan salah seorang sukarelawan HCF dan terus menghantar pesanan ringkas.

Tanpa membuang masa lagi, kami  terus membuat panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan ambulans.
Tidak lama kemudian, ambulans pun tiba dan pegawai kesihatan memeriksa keadaan beliau. Beliau terus dibawa ke unit kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Selepas beberapa prosedur dilakukan antaranya CT scan juga x-ray, doktor mengesahkan beliau diserang stroke sebelah badan. Seluruh anggota badan beliau sebelah kanan tidak dapat berfungsi seperti kebiasaanya. Beliau kini dalam keadaan stabil dan masih ditahan di hospital untuk rawatan lanjut.

Kepada yang mengenali beliau, bolehlah menziarahi beliau juga memberikan kata-kata motivasi juga semangat buat Uncle Eng. Isteri beliau juga sudah mendapatkan rawatan di hospital yang sama. Sama-sama kita doakan semoga Uncle Eng dan juga isterinya diberikan kesembuhan oleh Allah juga diberikan kesihatan yang baik untuk dapat terus beribadah kepada Allah.

Berulang-ulang kali isteri beliau mengucapkan terima kasih kepada kami kerana sudi membantu mereka berdua dan meminta maaf kerana menyusahkan. Kami genggam erat tangannya.. “Tidak mengapa, usah dirisaukan kerana kita bersaudara”. Semoga Allah juga yang dapat memberikan kebaikan buat kita semua. Terima kasih juga diucapkan buat pembantu juga pegawai-pegawai perubatan di PPUM yang bertindak pantas membantu kami dalam menyantuni mualaf.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No.2442, 6901, Muslim, No.2580)
.
#HidayahCentreFoundation
#SampaikanIslamSantuniMualaf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top