fbpx

“Why you buy sarung?”

Pagi Sabtu, 30 Jun 2018, Allah pertemukan saya dengan Saudara Wan (non-Muslim berketurunan Cina, berusia lewat 40-an) di program Hari Terbuka Masjid Bulat, Seksyen 14 Petaling Jaya sempena Sambutan Aidilfitri. Pada hari itu saya dan rakan-rakan dari Hidayah Centre Foundation mengendalikan aktiviti Mosque Tour dan meraikan tetamu non-Muslim yang ingin menjenguk ke dalam dewan solat masjid. Saudara Wan adalah salah seorang tetamu yang saya layani dan saya berkongsi maklumat mengenai masjid dan Islam kepada beliau. Sempat juga kami menghadiahkan senaskhah Al-Quran terjemahan sebelum beliau pulang. Sebelah petang hari yang sama, saya menghantar mesej perkenalan kepada beliau. Dari situ perhubungan kami yang lebih erat bermula.

Beberapa minggu selepas itu, Saudara Wan menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan saya. Selepas beberapa kali tertangguh (lantaran kesibukan masing-masing), akhirnya pada 24 Julai 2018 kami bertemu di sebuah restoran di Kelana Jaya. Niat saya pada ketika itu adalah untuk mengenali beliau dengan lebih dekat. Saya juga lebih banyak mendengar luahan hati beliau, termasuk pandangan beliau mengenai ajaran agama-agama. Satu pertemuan yang cukup positif dan harmoni, dan saya mengambil peluang selepas itu menghantar mesej-mesej yang lebih terbuka menceritakan kepada beliau tentang Islam.

Isnin, 17 Disember 2018, ketika saya dan keluarga bercuti di Cameron Highlands, saya mendapat mesej dari Saudara Wan seperti berikut, “Boss, nearest mosque will be nearby my home, walking distance about 500-700 m away. Not sure where to buy a songket but I already bought sarung.” Saya membalas, “Why you buy sarung?” Dia bertanya kembali, “Thought we need to wear one during prayer? Or Songkok?” Balas saya lagi, “You want to pray like Muslims, brother?” Saudara Wan membalas, “Is there any other way to pray? Kindly suggest. Thanks.”

Dari situ saya mencadangkan agar kami bertemu selepas saya pulang ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, malam semalam (Rabu, 19 Disember 2018) saya bersama Saudara Wan pergi ke sebuah masjid di Kelana Jaya kerana beliau begitu teringin melihat cara orang Islam menunaikan solat. Bukan setakat itu, saya mengajak beliau sama-sama mengambil wuduk dan bersolat Isyak bersama saya dan ahli jemaah yang lain. “Saya rasa sungguh tenang selepas sembahyang..” ujar beliau selepas kami selesai solat.

Kira-kira jam 9.00 malam, kami menyambung perbualan di restoran berhampiran masjid. Selesai makan malam, saya mulakan perbincangan yang secara langsung berkaitan agama Islam. Bagi saya, Saudara Wan sudah dekat dengan Islam. Kesempatan ini saya gunakan sebaiknya untuk menjalankan kewajipan saya sebagai Muslim, menyampaikan perkara asas mengenai ajaran Islam kepada Saudara Wan berteraskan teknik A.S.A.R.A.J (nak tahu lebih mendalam mengenai teknik ini, sila hadir kursus Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk 🙂 )

Jam menunjukkan hampir 11.00 malam. Selepas memberikan penerangan yang agak panjang, saya bertanya kepada Saudara Wan, adakah beliau boleh menerima bahawa Allah itu adalah satu-satunya Tuhan, dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang Rasul. Beliau mengakui boleh menerimanya. Saya bertanya semula, adakah beliau bersedia untuk memeluk Islam. Beliau nyatakan belum bersedia dan perlukan masa untuk memikirkannya. Saya katakan kepadanya, tidak mengapa, saya juga tidak mahu memaksanya menukar agama. Tugas saya hanyalah menyampaikan. Namun dalam hati saya terus berdoa semoga Allah memberikan hidayah kepada beliau. Hanya Allah yang boleh mengubah hati manusia.

Kira-kira jam 6.30 pagi hari ini, sebaik sahaja saya membuka telefon, saya baru perasan rupa-rupanya jam 11.42 malam semalam Saudara Wan ada menghantar mesej kepada saya yang berbunyi, “Hi Bro, pls help me on my status in becoming a Muslim as discussed earlier. TQ.” Hati saya berbunga-bunga bila membaca mesej ini. Lantas saya menghubungi beliau, mengajak beliau hadir ke pejabat Hidayah Centre Foundation untuk kami menguruskan pengislaman beliau. Dengan izin Allah, lebih kurang jam 1.45 petang tadi, Saudara Wan melafazkan dua kalimah syahadah, menandakan kembalinya seorang lagi hamba Allah ke agama asalnya sebelum lahir ke dunia, iaitu Islam. Allahu Akbar! Sungguh Allah Maha Besar! Terima kasih Allah.

Semoga Saudara Wan atau nama Islamnya Yusuf diberikan kekuatan oleh Allah untuk menempuh cabaran kehidupan sebagai Muslim dan beroleh ganjaran syurga di akhirat kelak. Ameen.

-WaN aM-
Khamis, 20 Disember 2018
4.42 petang
Hidayah Centre Foundation 
Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur.
.
————–
Saudara Wan Am merupakan Penolong Pengurus Jabatan Outreach dan Latihan, Hidayah Centre Foundation.
.
#HidayahCentreFoundation
#SampaikanIslamSantuniMualaf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top