fbpx

MAJLIS IFTAR PERDANA HIDAYAH CENTRE 2018 KALI KE 14.

KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 600 orang saudara baru telah diraikan dalam Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) 2018 yang telah diadakan di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen Telekom Malaysia. Majlis tersebut telah dihadiri lebih 1000 orang tetamu yang terdiri daripada saudara baru, keluarga saudara baru belum Islam, korporat, individu penaja sumbangan dan sukarelawan Rakan Hidayah. Majlis yang mensasarkan penyertaan saudara baru ini terdiri daripada saudara baru santunan Hidayah Centre Foundation juga rakan-rakan NGO yang lain.

Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Tuan Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah berkata, majlis ini diadakan bagi meraikan individu yang baru memeluk Islam, khususnya mereka yang pertama kali menjalani ibadat puasa. Selain itu, majlis ini juga turut menjemput ahli keluarga saudara baru pelbagai latar belakang yang belum Islam bagi meraikan dan merasai bersama suasana berbuka puasa di bulan Ramadan.

“Majlis ini diadakan untuk menyatakan saudara baru tidak keseorangan dalam menjalani proses perubahan dalam hidup mereka”.

“Ini juga adalah sebahagian daripada program dakwah bagi ahli keluarga mereka yang belum memeluk Islam, dengan menunjukkan keindahan Islam yang tidak memutuskan hubungan kekeluargaan walaupun berbeza agama”

“Sebagai organisasi yang mahu melihat negara harmoni, kami mengalu-alukan mereka yang bukan Islam untuk melihat sendiri bagaimana kita raikan saudara baru dan bagaimana kita mengamalkan syiar Islam, seperti ibadat puasa ini,” kata Pengerusi Hidayah Centre Foundation.

Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre ini juga diadakan bertujuan menggalakkan penglibatan sektor awam dan swasta untuk bersama-sama membantu usaha dakwah di Hidayah Centre Foundation. Selain itu, majlis seumpama ini juga membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk meraih pahala di bulan Ramadan melalui sumbangan berbuka puasa kepada saudara baru di samping memperkenalkan keindahan ibadah berpuasa dalam bulan Ramadhan kepada yang berlainan latarbelakang agama. Hidayah Centre Foundation berbesar hati menjemput komuniti korporat dan individu untuk bersama-sama di dalam menjayakan penganjuran majlis ini

Majlis ini juga bertujuan mengumpul dana bagi membiayai kos pengurusan saudara baru, kos operasi serta program dakwah yang dijalankan Hidayah Centre Foundation.

Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre ini juga telah diadakan di beberapa buah negeri yang lain seluruh Malaysia, antaranya di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kedah, Melaka, Pahang dan Terengganu.

Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) iaitu Ustaz Hanifuddin Roslan. Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis ini adalah ahli parlimen Seputeh iaitu YB Teresa Kok.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang majlis tersebut dijalankan antaranya bacaan tafsir ayat al-Quran empat bahasa, forum, jamuan iftar, solat tarawih berjemaah, persembahan kumpulan nasyid Far East dan pemberian duit raya kepada saudara baru. Forum yang dikendalikan oleh Tuan Fakharuddin yang berkisar mengenai pesanan Lukman Al-Hakim telah dikupas dengan baik ahli panel yang berpengalaman yang terdiri daripada Ustaz Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, Ustaz Muhammad Fitri Abdullah (Penceramah Bebas) dan Muerell Everel Robert (Saudara Baru).

Dalam majlis ini juga, Hidayah Centre Foundation turut menyampaikan Anugerah Saudara Baru Harapan kepada Muhammad Irfan Abdullah, 25, dan Anugerah Saudara Baru Teladan kepada Ainul Mardhiah Palau, 29. Seusai anugerah ini disampaikan, telah diadakan pula majlis syahadah secara tertutup salah seorang tetamu majlis berbuka puasa ini yang turut dihadiri oleh ahli keluarganya yang bukan Islam.

Semoga majlis seumpama ini dapat dianjurkan lagi di tahun mendatang dengan mendapat kerjasama pelbagai pihak lagi yang ingin turut bersama-sama dalam usaha murni ini. Mari kita sama-sama berkongsi nikmat dan pahala menjayakan program yang mulia ini sebagaimana saranan Nabi Muhammad saw: “Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang semisal orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top